Webinar Pemasaran Digital Maxis E-Kelas Usahawan : Strategi Pemasaran dan Penciptaan Kandungan

27 Mei 2025 | Aktiviti Terkini

Pada 26 Mei 2025, NADI telah menyediakan fasiliti dan sokongan teknikal bagi menjayakan webinar keusahawanan anjuran Maxis bertajuk Strategi Pemasaran dan Penciptaan Kandungan. Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang strategi pemasaran digital yang efektif, sejajar dengan perkembangan semasa di mana media sosial menjadi platform utama dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan secara lebih meluas dan pantas.

Sesi ini turut menekankan kepentingan penciptaan kandungan yang berkualiti dan bersasar sebagai alat komunikasi berkesan dalam menarik minat pengguna. Peserta mempelajari teknik menghasilkan poster yang menarik, video berinformasi serta kandungan media sosial yang mampu meningkatkan penglibatan dan jualan. Ilmu yang disampaikan oleh pakar industri membolehkan peserta memahami bagaimana untuk membina jenama yang kukuh dalam persekitaran digital yang kompetitif.

Penganjuran program seperti ini secara langsung memperkukuh peranan NADI sebagai pusat pembangunan kapasiti digital komuniti. Ia membuka ruang kepada usahawan tempatan, khususnya di kawasan luar bandar, untuk memperoleh pengetahuan semasa dan kemahiran praktikal dalam memasarkan produk mereka secara lebih berkesan. NADI berfungsi bukan sekadar sebagai pusat akses ICT, tetapi juga sebagai pemangkin transformasi ekonomi digital komuniti melalui perkongsian ilmu, latihan dan sokongan berterusan.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali